Friday 23 December 2011

salam imtihan

Assalamualaikum WBT...
Bismillahirahmanirahim,
“katakanlah...Wahai Tuhan kami masukkanlah kami dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah kami daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepada kami daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolong kami.”
Alhamdulillah syukur kita rafakkan kepada Allah SWT, kerana masih di beri nikmat kehidupan sehingga ke hari ini. Namun, barang jangan di lupa akan dua nikmat terbesar yang masih Dia sudi anugerahkan kepada kita iaitu nikmat Iman dan Islam yang masih terpasak gagah di hati dan jiwa kita, moga ia kekal hingga ke akhirnya..insyaAllah. Seindah selawat serta salam buat Baginda SAW, kaum kerabat serta para sahabat.
Sahabat/Sahabaiah yang dirahmati Allah,
Sedar tidak sedar kita telah pun menghampiri penghujung semester. Ini bermakna pintu dewan peperiksaan semakin terbuka luas, pintu-pintu dewan kuliah juga bilik-bilik tutorial semakin menutup rapat. Lantaran itu, debarannya semakin terasa, maka tidak hairanlah sehingga ramai dikalangan kita yang menjadi gelisah hanya memikir tentangnya.
Doa
Sebagai seorang muslim, suatu kelebihan bagi kita iaitu Doa. Kata-kata hukama’ “addua’ huwa silahul mukmin” doa itu senjata orang mukmin. Inilah hakikatnya yang menjadi pembeza buat kita dengan pelajar non-muslim. Namun, terkadang dengan kekalutan kita menelaah nota-nota, kesibukan mengulit buku-buku, melakar-lakar peta minda dan sebagainya buat kita terlupa untuk beramal dan meyakininya. Kita bimbang, andai usaha-usaha itu hanya semata-mata usaha tetapi sepi dari pandangan Allah..Nauzubillah.
Islam itu Addin, (the way of life) maka, seharusnya tiap apa yang kita kerjakan itu mengharapkan ia menjadi ibadah. Ibadah tidak hanya tertumpu kepada ibadah khusus malah ia lebih dari itu andai perkerjaan itu mempunyai tiga perkara: 1) niat 2) ikhlas 3) mengikut cara Nabi SAW.  Justeru, masih belum terlewat untuk kita memulakan rentak baru dalam irama usaha kita agar setiap titik peluh, jerih perih kita menelaah mendapat redhaNya, dengan mengamalkan sekurang-kurangnya; memulakan revision kita dengan ucapan kalimah Basmallah iaitu.. Bismillahirahmanirahim. Moga ada keberkatan didalamnya. InsyaAllah.
Usaha dan Tawakkal
Ingin saya berpesan pada diri saya juga sahabat/sahabiah sekalian, sesungguhnya yang dilihat dan diukurNya bukanlah sejauh mana usaha kita. Tapi yang diharapNya ialah sejauh mana tawakal dan keparcayaan kita yang jitu kepadaNya. Inilah yang akan menjadi self-indicator tahap kerbergantungan kita kepadaNya. Namun, ini tidak bermakna kita boleh goyang kaki, duduk di bangku meja study tanpa sebarang usaha, apa yang ingin disampaikan ialah usahalah sehabis mungkin dan jangan sesekali kita ber‘aqidah’ bahawa banyak usaha kita penentu kejayaan tetapi semestinya kita ber‘iman’ tawakkal kita itu sebenarnya hanya semata-mata padaNya. Ia bulat dalam hati. Itulah hakikat sebenar kejayaan. Kerana tak semua mampu membulatkan hatinya pada Rabb setelah apa yang dia kerjakan, ya kita boleh melihat hakikat orang berusaha; usaha itu sesiapa saja boleh laksanakan tapi ingin membulatkan tawakkal dalam hati itu jauh lebih sukar. Hanya segelintir yang mampu menatijahkannya.
Allah berpesan pada kita;
            “Faiza a’zamta fatawakkal a’lallah”
Realitinya, tawakkal mampu membawa momentum yang besar untuk kita bergerak lebih laju, bersemangat dan yakin pada diri. Ia bukan bermakna kita mengalah sebelum berperang, tapi bersiap sedia untuk berjuang sebelum turun ke medan pertempuran. Inilah motivasi terhebat buat kita sebagai seorang muslim! Allah telah berjanji kepada kita dalam ayat yang lain;
            "...Barang siapa yang bertawakal kepada Allah tentu diadakanNya jalan keluar     baginya, dan memberinya rezki dari pintu yang tidak diduga-duga olehnya.       Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Tuhan akan mencukupkan keperluannya. Bahkan sesungguhNya Allah pelaksana semua peraturanNya. Dan Allah juga telah menjadikan segala-galanya serba berukuran " (At-Talaq : 2 - 3)
Yakinlah wahai diriku juga sahabat/sahabiah sekalian, janji Allah itu pasti! J
Kejayaan itu bukanlah milik sesiapa tapi ia hak mutlak milik Allah, selayaknyalah kita paut dan gantungkan ia kepada yang hak yakni Allah SWT.
Sama-sama kita doakan semoga kita sentiasa dalam pelukan rahmat serta redhaNya, tenang dalam menghadapi detik-detik penuh debaran ini, dipermudahkan segala urusan, apa yang diusahakan hari ini membuah kejayaan yang hakiki dan kejayaan yang bakal diraih itu menjadi jambatan buat kita di akhirat kelak...ameen..
Akhir kalam..Sirru A’laa Barakaatillah... moga kita berada dalam redhaNya. Jaga kesihatan, jaga emosi, pintalah restu dua ibu bapa juga pensyarah. InsyaAllah.
“Allahumma Najihna Fi Kulli Imtihan Wabarriklana Fi Dunnia Wal Akhirah” (ya Allah anugerahkanlah kepada kami kejayaan di dalam setiap peperiksaan dan berkatilah kami di dunia dan akhirat)
All The best! J
“Siswa Beriman, Mencorak Zaman”
Wasaalamualaikum WBT.



No comments:

Post a Comment